Destinati pemenang Anugerah Pelancongan Malaysia untuk dilawati

Seminggu yang lalu, telah berlangsung Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Anugerah berprestij yang dianjurkan secara dwi tahunan ini merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dalam industri pelancongan di negara kita. Sebanyak 56 anugerah telah disampaikan kepada pemenang pelbagai kategori.

Terdapat beberapa tempat menarik telah memenangi anugerah dan sememangnya menarik untuk dilawati.

Antaranya ialah :

1. Inap Desa Terbaik :
 
Homestay Kg Teluk Ketapang, Kuala Terengganu - sebuah perkampungan nelayan yang terletak di pinggir Bandar Kuala Terengganu. Homestay ini terkenal dengan pembuatan keropok, belacan serta budu dan ikan masin.


Gambar dari laman web Homestay Labu Kubong 


Homestay Labu Kubong, Padang Rengas, Perak - perkampungan yang terletak 5km dari bandar Kuala Kangsar, dikelilingi keindahan sawah padi, bukit bukau, banjaran Bintang Hijau, kebun-kebun getah dan buah-buahan.
 

Program Homestay yang dibangunkan oleh Kementerian Pelancongan & Kebudayaan adalah pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga yang dipilih, berinteraksi dan menimba pengalaman kehidupan seharian keluarga homestay dan juga mempelajari budaya masyarakat luar bandar di Malaysia. Produk Homestay tidak digolongkan sebagai kemudahan penginapan. Ia lebih memfokuskan kepada gaya hidup dan pengalaman termasuk budaya dan kegiatan ekonomi.
 
2. Pusat Beli Belah Terbaik
 
Pusat Beli Belah Integrasi : Sunway Putra Mall - Untuk kaki shopping di Kuala Lumpur, lari daripada kesesakan di Bukit Bintang atau KLCC dengan mengunjungi pusat beli belah yang terletak bersebelahan dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dulunya dikenali sebagai The Mall. Pusat beli belah ini dibangunkan oleh Sunway Group dan turut ditempatkan di situ ialah hotel Sunway Putra yang dulunya ialah hotel The Legend. Untuk mengunjungi pusat beli belah ini, bolehlah menggunakan LRT dan turun di stesen PWTC atau menaiki komuter dan turun di stesen Putra. 

Gambar dari laman web Sunway Putra Mall
Pusat Beli Belah Persendirian : Komtar JBCC -  Jika ke Johor Bahru, boleh berkunjung ke pusat beli belah bersebelahan dengan City Square ini. Selain daripada membeli belah, di sini juga terletaknya Angry Bird Activity Park
 
3. Tarikan Pelancongan Terbaik
 
Tarikan Semulajadi/Eko Pelancongan/Agro Pelancongan : Kilim Geopark - Tidak lengkap kunjungan ke Pulau Langkawi jika tidak menaiki bot melawati tarikan yang dibentuk oleh tujuh hutan simpan termasuklah hutan bakau. Tarikan-tarikan untuk diterokai di kawasan ini antaranya Gua Kelawar, Gua Langsir, Pulau Anak Tikus, Teluk Cina Mati, Tasik Langgun, Teluk Mempelam, Gua Langsir, Gua Cherita, Gua Dedap dan kawasan Tanjung Rhu.
 
Tarikan Buatan Manusia - Taman Tema : Escape Penang - teman tema outdoor untuk aktiviti keluarga dan aktiviti lasak yang terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Telah dibuka sejak 2012 dan menggabungkan aktiviti seperti flying fox, wall climbing, rope course dan paling terbaru taman tema air.
 
Tarikan Buatan Manusia - Tarikan Seni & Budaya : North Borneo Railway - terokai Borneo dengan menaiki keretapi sejauh 36km dari Kota Kinabalu ke Papar.
 
4. Anugerah Perdana Menteri - Organisasi : The Haven Ipoh - boleh baca artikel The Haven Ipon, Haven On Earth.

Comments