Pertunjukan gajah di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV)
Selamat datang ke KECV |
Negara-negara di Asia Tenggara terutamanya Thailand sememangnya terkenal dan sinonim dengan pertunjukan gajah. Terdapat beberapa lokasi yang terkenal seperti di Bangkok, Chiang Mai dan Pattaya. Di Malaysia, terdapat dua lokasi iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang, Pahang dan Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) di Terengganu. PKGK dibangunkan oleh PERHILITAN sejak tahun 1989 dan mula diberikan publisiti kepada orang ramai pada tahun 1997. Manakala KECV baru sahaja dibangunkan pada tahun 2012.
Bersempena dengan Program Maghi Candat Sotong anjuran Kelab Rekreasi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia pada 29 April 2018, Seronok Jalan berpeluang untuk melawat Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) di Terengganu.
Tarikan utama di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV)
Apa yang paling menarik di KECV berbanding dengan pusat konservasi lain ialah pengunjung dapat melihat habitat semulajadi gajah dengan berjalan melalui laluan kanopi yang dihubungkan dengan 5 platform yang mempunyai ketinggian sehingga 6 tingkat bangunan. Laluan kanopi sejauh 600 meter, membolehkan para pengunjung menikmati pemandangan hujan tropika tertua di dunia dan melihat gajah-gajah berkeliaran di kawasan tersebut.
Laluan Kanopi |
Antara platform yang mengubungkan laluan kanopi dan juga dijadikan sebagai menara tinjau |
Gajah-gajah yang dapat dilihat ketika melalui laluan kanopi |
Setelah melalui laluan kanopi, para pengunjung akan tiba di lokasi pertunjukan yang akan dipersembahkan oleh gajah-gajah di KECV. Pertunjukan selama hampir sejam itu akan memberikan pendedahan kepada pengujung tentang bagaimana gajah-gajah menjalani kehidupan mereka. Buat masa ini, terdapat sebanyak 13 ekor gajah di KECV dan kesemuanya adalah gajah tempatan. Gajah-gajah yang dibawa ke sini adalah gajah yang diselamatkan setelah mempunyai masalah di habitat asal mereka. Di penghujung persembahan, pengunjung berpeluang untuk memberi makan kepada gajah-gajah dan seterusnya mandi bersama gajah.
Pertunjukan gajah |
Memberi makan gajah |
Mandi sungai bersama gajah Gambar oleh Mohd Fairul Mohd Aris, Tourism Malaysia |
KECV meliputi keluasan 256 hektar dan kawasan yang dibangunkan untuk tujuan pembelajaran ini hanyalah 10 peratus daripada jumlah keluasan, selebihnya adalah kawasan hutan semulajadi yang tidak terusik. Walau bagaimanapun, pembangunan yang dibuat menitikberatkan persekitaran dan tidak menjejaskan persekitaran asal.
Melawat KECV akan memberikan pengalaman yang bergitu berharga kepada para pengunjung. Menikmati keindahan pemandangan hutan hujan tropika dan melihat kehidupan gajah dengan lebih dekat akan memberikan kesedaran tentang kepentingan untuk memulihara hidupan liar yang semakin terancam ini. Sekiranya berkunjung ke Kuala Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk ke KECV.
Bagaimana nak ke sana?
Menaiki bas Tasik Kenyir Ekspress dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir mengambil masa 6 - 7 jam. Terdapat juga bas dari Alor Setar, Kuala Perlis dan Sungai Petani. Pelancong juga boleh menaiki mana-mana bas ekspress atau penerbangan ke Kuala Terengganu (KT) dan menaiki teksi dari KT yang mengambil masa antara 45 minit hingga 1 jam perjalanan.
Tiket masuk
Dewasa (12 tahun ke atas) : RM100, Kanak-kanak (7-12 tahun) : RM50, Kanak-kanak (1-6 tahun) : RM10 dan percuma kepada bayi 1 tahun dan ke bawah.
Pemegang MyKad - Dewasa (12 tahun ke atas) : RM40, Kanak-kanak (7-12 tahun) : RM20, Kanak-kanak (1-6 tahun) : RM5 dan juga percuma kepada bayi 1 tahun dan ke bawah.
Fax: +609 858 4848/Email: enquiry@kecv.com.my
Comments
Post a Comment