Jabatan Muzium Malaysia rasmi Pameran Kartun dan Kita serta lancar kalendar acara 2018


Tarikh Acara: Jumaat, 8 Disember, 2017 - 09:00 sehingga Ahad, 15 April, 2018 - 18:00
Lokasi: Galeri 2, Muzium Negara
 


KUALA LUMPUR-  Jabatan Muzium Malaysia dengan sukacitanya merasmikan pameran kartun dan kita juga melancarkan kalendar acara 2018 serta buku tebitan JMM pada 23 Januari 2018, jam 10.00 pagi di Dataran Muzium Negara. Majlis ini disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Turut sama Cik Saraya Arbi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Puan Haslina bt Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), YBhg Datuk Kamarul Baharin b. A. Kasim Ketua Pengarah, JMM dan YBrs En Mohd Azmi bin Mohd Yusof Timbalan Ketua Pengarah, (Permuziuman), JMM.

 Pameran kartun dan kita telah mula dibuka kepada orang ramai sejak 8 Disember 2017 dan akan berakhir pada 15 April 2018. Sejak dibuka pameran ini telah mendapat sambutan yang hangat dari para pengunjung. Pameran ini merupakan hasil kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya Rumah Kartun. Objektif pameran ini ialah untuk mendedahkan manfaat kartun sebagai wadah komunikasi yang sangat berkesan untuk menyalurkan mesej kepada masyarakat. Skop Pameran adalah:

i.          Pengkhususan kepada aspek sejarah yang memaparkan evolusi kartun nasional yang menjadi tunjang kepada perkembangan dunia kartun di Malaysia.

ii.          Pengkhususan kepada aspek sosio-budaya yang boleh dihayati menerusi karya-karya kartun.

iii.         Pengkhususan kepada era kegemilangan dunia kartun yang seiring dengan perkembangan semasa negara

iv.        Tidak memaparkan karya-karya kartun yang memberi konotasi negatif kepada masyarakat.

 
Manakala pada tahun ini, JMM merancang akan melaksanakan lebih kurang 153 program meliputi pameran, program pendidikan, semarak muzium, bicara muzium dan program sampingan permuziuman. Program ini akan dilaksanakan di 20 buah muzium bawah pentadbiran JMM.

 Selain itu, JMM juga telah berjaya menghasilkan 3 buah buku iaitu :

1.   MAKAM-MAKAM ISLAM LAMA DI MARITIM ASIA TENGGARA merupakan hasil tulisan pilihan terbitan EFEO dan Association Achipel. Tujuan utama buku ini ialah untuk memperkenalkan sejumlah hasil penyelidikan tentang makam-makam islam zaman silam yang telah dijalankan di Maritim Asia Tenggara selama 20 tahun terakhir kebelakangan ini yang kebanyakkannya telah diterbitkan dalam bahasa Perancis. Selain itu, buku ini turut memuatkan dua hasil kajian asli terbaru mengenai makam di Malaysia: satu yang memperkenalkan sejenis batu Nisan dari negeri Melaka yang belum pernah diperhatikan sebelum ini dan satu mengenai sebuah makam cina Islam di negeri Melaka juga.

2.   THE CHITTIES OF MELAKA adalah buku terbitan bersama  antara Jabatan Muzium Malaysia dan Sukarelawan Muzium. Buku ini ditulis oleh  Karen loh dan Jegatheesan Vellupillay dari pasukan sukarelawan muzium yang banyak membantu dalam menyebarluaskan peranan Jabatan Muzium kepada masyarakat umum. Ia juga merupakan hasil kajian yang komprehensif oleh pihak Sukarelawan Muzium  yang meliputi aspek sejarah , kebudayaan, agama, dan bahasa golongan Chitty di Melaka

3.   MALAYSIA MUSEUMS JOURNAL adalah jurnal terbitan  Jabatan Muzium Malaysia. Ia merupakan Jurnal berwasit, yang dapat menyemarakkan lagi tradisi wacana ilmu di arena pendidikan global. Penerbitan berkala ini juga mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh Institusi permuziuman sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal. Memuatkan lapan kertas kerja yang telah dibentangkan dalam beberapa siri Bicara@Muzium dan juga seminar serta Forum sepanjang tahun 2016

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Muzium Malaysia di talian 03-22671049 atau layari http://www.jmm.gov.my/ms

Comments